BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

DBKL perhebat penguatkuasaan urus sewa bazar Ramadan 2026, pastikan tiada orang tengah

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperhebat penguatkuasaan dalam pengurusan sewa tapak bazar Ramadan 2026 bagi memastikan proses pelaksanaannya telus serta bebas daripada penglibatan orang tengah atau ejen yang mengaut keuntungan berlebihan di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah tersebut susulan keputusan kerajaan menurunkan kadar sewa tapak bazar Ramadan tahun ini daripada RM500 kepada RM400, selari dengan komitmen mengurangkan kos sara hidup khususnya di Kuala Lumpur.

“Pihak kerajaan telah mengambil langkah mengurangkan kadar (sewa tapak bazar Ramadan 2026), seterusnya kita akan buat ialah penguatkuasaan untuk pastikan tidak ada orang tengah yang buat sebagai ejen bagi mengaut keuntungan berlebihan.

“Kita nak pastikan kos sara hidup turun dan menyenangkan warga Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kuala Lumpur MADANI di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan.

Menurut Hannah, penganjuran bazar Ramadan tahun ini akan diadakan di sembilan lokasi di bawah seliaan DBKL, manakala 32 lokasi lagi dikendalikan oleh persatuan penjaja.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penambahbaikan infrastruktur mesra orang kurang upaya (OKU) di Wilayah Persekutuan memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk mengadakan sesi libat urus bersama komuniti OKU di beberapa kawasan sekitar ibu negara.

“Hasrat kita adalah supaya lebih banyak infrastruktur untuk pejalan kaki khususnya dapat menjadi lebih mesra golongan OKU, tetapi yang paling penting untuk OKU bermula dengan pendaftaran terlebih dahulu.

“Jadi ibu bapa pastikan daftarkan anak-anak yang OKU kerana kad OKU itu penting.
Semuanya bermula dengan pendaftaran kerana bila mendaftar, data itu wujud, barulah banyak pihak berkuasa boleh merancangkan infrastruktur dan manfaat untuk golongan mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button