Kuala Lumpur tuan rumah tiga Forum Bandar Mampan ASEAN 2025
KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam pembangunan bandar mampan apabila menjadi tuan rumah kepada Majlis Perasmian Bersama ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors/Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) 2025, semalam.
Majlis yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, penganjuran bersama tiga forum berprestij itu membuktikan komitmen Malaysia khususnya ibu negara dalam memperkukuh rangkaian kerjasama bandar serantau.
“Kuala Lumpur berbangga menjadi tuan rumah acara penting ini yang bukan sahaja mengangkat peranan ibu kota sebagai hab pembangunan mampan ASEAN, malah membuka peluang pertukaran idea, teknologi dan pengalaman demi menjadikan bandar-bandar di rantau ini lebih inklusif, berdaya tahan dan berdaya huni,” kata DBKL.
Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif serta pemimpin tempatan dan antarabangsa, wakil pertubuhan antarabangsa dan komuniti ASEAN.

ASUF menjadi platform perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan bandar mampan, teknologi pintar, penyelesaian karbon rendah dan pengurusan sumber berkesan.
Sementara itu, AGMF menghimpunkan gabenor dan datuk bandar dari seluruh ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bandar yang lestari, inklusif dan responsif terhadap perubahan iklim.
MGMAC pula memberi fokus kepada isu bersama di ibu kota ASEAN seperti pengurusan sisa, perumahan, mobiliti, kesihatan awam dan sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan ASEAN 2045.
Dengan penglibatan aktif pemimpin tempatan dan antarabangsa, acara tersebut mampu menjadi pemangkin kepada inisiatif pembangunan bandar mampan yang lebih bersepadu di seluruh ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








