BERITA SEMASA

Dr Zaliha rasmi Mural Batik MADANI, lepas peserta SEGARUN 2025

KUALA LUMPUR — Mural Batik MADANI yang kini menghiasi dinding Menara DBKL 3 di Jalan Raja Laut telah diiktiraf sebagai mural batik terbesar di Malaysia, menjadikannya simbol baharu seni warisan dan perpaduan negara di tengah ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, mural mega berukuran 183 meter panjang dan 6 meter tinggi itu meliputi keluasan lebih 1,100 meter.

“Lukisan ini mencerminkan wajah sebenar masyarakat kita yang berbilang kaum, bersatu dalam kepelbagaian serta bersama-sama mengangkat seni warisan sebagai lambang kebanggaan negara.

“Inilah naratif nasional yang dibentuk melalui semangat inklusif dan nilai perpaduan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan mural hasil kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Berjaya Group Berhad hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBKL, para seniman tempatan, rakan korporat serta komuniti yang menjayakan karya berkenaan.

Beliau berkata, Kuala Lumpur bukan sahaja berkembang secara fizikal, tetapi juga subur dengan nilai, budaya dan semangat kebersamaan yang menghidupkan nadi kota.

Baca juga : DBKL diberi empat bulan lakukan pemutihan penjaja – Dr. Zaliha

Dr Zaliha (tengah) bersama para peserta acara larian SEGARUN: Smoking Endgame 2025 yang berlangsung sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia. – Foto Facebook Dr Zaliha Mustafa

Sementara itu, Dr Zaliha turut hadir pagi tadi untuk melepaskan peserta acara larian SEGARUN: Smoking Endgame 2025 yang berlangsung di Dataran DBKL sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia (World No Tobacco Day) 2025.

Menurut beliau, acara itu membuka ruang kepada masyarakat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup sihat serta risiko penggunaan tembakau dan produk nikotin, selaras dengan usaha global kawalan tembakau.

“Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-20 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC), yang menjadi tonggak penting dalam usaha kesihatan awam sejagat.

“Komitmen Malaysia kekal utuh dalam memperkukuh dasar kesihatan awam, sejajar dengan visi Bandar CHASE Wilayah Persekutuan yang menekankan aspek Bandar Sihat sebagai salah satu teras utama,” katanya di Facebook.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button