BERITA SEMASA

DBKL kenal pasti lima tapak baharu aktiviti busking

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti lima lokasi di sekitar ibu kota sebagai tapak baharu untuk aktiviti busking atau menyanyi jalanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, lima tapak baharu berkenaan adalah di Jejak Pahlawan; Bulatan Dato Onn; dua di River of Life merangkumi di belakang bangunan Dato Abdul Samad dan berhampiran Pasar Seni serta Medan Pasar.

“Pada masa sama, lokasi sedia ada untuk aktiviti busking yang sudah diwartakan seperti di hadapan (pasar raya) Sogo serta Bukit Bintang masih diteruskan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Sifar Sisa di Pusat Beli-Belah Kuala Lumpur di pusat beli-belah MyTown, Cheras, di sini hari ini.

Zaliha turut meberitahu, beliau mengadakan pertemuan selama dua hari bersama semua pengiat seni busking dan memberitahu cadangan menjenamakan semula mereka daripada seniman jalanan kepada seniman kota.

“Dalam pertemuan itu, kami ada panggil agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memberi insentif caruman secara percuma dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

“Setakat ini, lebih 500 kumpulan busker berdaftar dengan kami. Mereka diberikan pengecualian permit pada tahun depan selain pemberian kemeja T yang lebih kemas dan teratur,” katanya.

Menurutnya, kumpulan busker yang hadir dalam pertemuan itu juga ada mengutarakan beberapa perkara yang diambil maklum pihaknya.

“Mereka (kumpulan busker) sambut baik inisiatif kerajaan. Pada masa sama, mereka ada utarakan beberapa perkara yang kami ambil maklum dan cuba selesaikan.

“Kita juga akan memperkenalkan aplikasi yang membolehkan tempahan dibuat di lokasi diwartakan serta memberi latihan kepada golongan mereka supaya boleh terus berkarya dan menjana pendapatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button