
DBKL diberi empat bulan lakukan pemutihan penjaja – Dr. Zaliha
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi tempoh empat bulan, iaitu sehingga Ogos ini untuk melaksanakan proses pemutihan terhadap penjaja tidak berlesen di seluruh ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, proses tersebut akan menjadi sebahagian daripada komponen dalam inisiatif Lestari Niaga yang telah digerakkan sejak dua tahun lalu.
Zaliha berkata, dalam tempoh tersebut, semua penjaja tanpa lesen diminta tampil, mendaftar serta mengikuti proses yang ditetapkan, manakala DBKL pula perlu membuat penilaian yang lebih holistik berdasarkan ekosistem penjaja dengan tidak bergantung kepada status quo sahaja.
“Langkah berkenaan bukan satu bentuk pengampunan mutlak, tetapi ruang untuk perbetulkan keadaan dan peluang untuk mereka kembali ke landasan yang sah.
“Tetapi sekiranya selepas tempoh tersebut berakhir masih ada lagi yang tidak tampilkan diri, maka tindakan penguatkuasaan akan dijalankan dengan lebih tegas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.
Dalam kenyataan sama, Zaliha menegaskan, Wilayah Persekutuan seharusnya menjadi contoh pentadbiran yang tegas, berprinsip, adil serta konsisten dalam hala tujunya.
“Kita tidak boleh biarkan undang-undang dipandang ringan, apatah lagi jika ia sehingga menjejaskan kesejahteraan awam dan imej bandar raya ini.
“Undang-undang itu wujud untuk menjamin keteraturan. Apa yang jelas adalah setiap bentuk perniagaan di Kuala Lumpur ini wajib berlesen dan tertakluk kepada peraturan DBKL. Melanggar peraturan itu tetap satu kesalahan, tiada kompromi,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Zaliha turut mengakui wujudnya kelompongan serta ruang untuk penambahbaikan dalam aspek pelesenan.
Sehubungan dengan itu, beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif untuk menyemak semula semua prosedur berkaitan, termasuk aspek penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan.
“Saya juga setuju, kita tidak boleh amalkan pilih kasih dalam tindakan dan semua yang melanggar undang-undang, baik dia Melayu, Cina, India, warga asing, pengusaha gudang mahupun penjaja kecil semuanya tidak terkecuali dari tindakan.
“Namun, tindakan penguatkuasaan itu perlu berhemah, berasaskan SOP yang jelas dan relevan dengan cabaran semasa, selain kita juga perlu adil dan beri ruang kepada penguatkuasa untuk laksanakan tugas mereka,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















