Umat Islam diseru buat sumbangan zakat bantu golongan miskin bandar, asnaf
PUTRAJAYA – Umat Islam yang berpendapatan lebih dan mencukupi syarat diseru supaya membayar zakat bagi menampung keperluan miskin bandar dan asnaf di Wilayah Persekutuan.
Menurut portal FMT, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah kutipan kini masih tidak mencukupi.
Katanya, jika situai ini masih berterusan, sebanyak 34,000 asnaf tidak akan dapat menikmati 38 skim bantuan ditawarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Keperluan bulanan untuk 34,000 itu semua asnaf dapat (bantuan). (Bagaimanapun) bagi skim keusahawanan MAIWP, perlu dibuat pemilihan teliti kerana zakat tak mencukupi untuk semua asnaf yang mahu menjadi usahawan,” katanya dalam laporan tersebut.
Mengulas lanjut, Nai’m berkata, zakat adalah instrumen penting dalam sistem ekonomi Islam yang dapat membantu menangani isu kemiskinan bandar.
Katanya, bagi dana zakat di Wilayah Persekutuan, MAIWP telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan menerusi 38 skim merangkumi kebajikan, ekonomi, perubatan, dakwah dan pembangunan ummah serta perlindungan dan pendidikan.
Justeru, Nai’m meminta mereka yang cukup syarat menunaikan rukun Islam keempat itu kerana ‘dalam rezeki kita ada hak asnaf atau mereka yang memerlukan’.
“Saya menyeru seluruh umat Islam, marilah kita bersama menyempurnakan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, kerana ia bukan sekadar membersihkan harta, tetapi juga melapangkan jiwa dan membuka pintu keberkatan yang lebih luas dalam kehidupan,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dilaporkan sebagai berkata, setakat ini RM1.02 bilion sudah diagihkan untuk membantu golongan memerlukan, sedangkan kutipan zakat baru mencecah RM909.99 juta.
“Maknanya, dari segi agihan kini lebih tinggi daripada jumlah kutipan, tetapi MAIWP membantu 34,000 keluarga setiap bulan.
“Sebab itu duit zakat yang kami kutip ini belum cukup dan kami masih perlu menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam tampil menunaikan kewajipan mereka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







