Forum al-Falah MADANI wajar jadi program berkala oleh setiap agensi
PUTRAJAYA – Forum al-Falah MADANI yang julung kali diadakan sempena Majlis Perhimpunan Agensi Agama disaran supaya dijadikan program berkala yang dianjur oleh agensi-agensi hal ehwal agama.
Gesaan itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar yang melihat potensi forum itu sebagai platform strategik dalam menyelaraskan hala tuju dan sinergi semua agensi di bawah kementerian itu dalam memperkasa agenda Malaysia MADANI.
“Forum al-Falah MADANI ini perlu diteruskan dan dijadikan satu program tetap yang dikendalikan secara bergilir oleh agensi-agensi.
“Ia merupakan medan terbaik bagi mengupas isu-isu semasa agama serta menyalurkan gagasan dasar kerajaan secara lebih efektif kepada masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Agensi Agama yang berlangsung di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

Forum yang membawa tema “Transformasi Agensi Hal Ehwal Agama ke Arah Membangun Ummah MADANI” itu dilihat selari dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sistem pentadbiran Islam yang inklusif, progresif dan berimpak tinggi.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, ketua-ketua dan warga agensi hal ehwal agama yang lain.
Menurut Dr. Na’im, perhimpunan seperti itu bukan hanya simbol kesatuan pentadbiran Islam, malah satu peluang keemasan untuk memperkukuh ukhuwah, menyatukan tekad dan membina kesepakatan antara pelbagai entiti yang mendukung hal ehwal Islam negara.
“Bukan sekadar himpunan biasa, tetapi kita manfaatkan pertemuan ini dengan pengisian bermakna yang mampu menterjemah dasar MADANI kepada tindakan yang menyentuh langsung keperluan rakyat,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Kad Debit i-Bank Islam Visa MAIWP, penyampaian Cek Cura Bantuan Pendidikan Yayasan Waqaf Malaysia kepada Kolej Profesional MAIWP dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP serta peluncuran Program Pondok Da’ei Muda YADIM.
Majlis bersejarah itu dikendalikan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama 13 agensi di bawah Hal Ehwal Agama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








