BERITA SEMASA

JAKIM anjur solat hajat khas doa keamanan sejagat

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan solat hajat khas bagi mendoakan kesejahteraan dan keamanan sejagat susulan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat ketika ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penganjuran program itu juga sebagai menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan agar umat Islam menunaikan solat hajat bagi memohon keamanan serta kesejahteraan dunia.

Menurutnya, majlis Solat Hajat Khas Untuk Keamanan Sejagat itu akan diadakan pada Jumaat, 13 Mac 2026 selepas solat Jumaat di tiga masjid utama di bawah seliaan JAKIM.

Masjid terlibat ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Situasi konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat ketika ini menuntut keprihatinan serta solidariti umat Islam di seluruh dunia untuk terus mendoakan keamanan dan kesejahteraan sejagat.

“Ini khususnya ketika umat Islam kini memasuki fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, pihaknya berharap doa dan munajat yang dipanjatkan oleh umat Islam sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan itu akan diterima Allah SWT.

“Semoga ia menjadi asbab kepada terpeliharanya keamanan, keselamatan dan kesejahteraan sejagat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button