BERITA SEMASA

Lebih 800 pendakwah berhimpun perkukuh hala tuju hal ehwal agama

PUTRAJAYA – Lebih 800 penggerak pendakwah dan warga pendidikan dari seluruh negara berhimpun dalam satu sesi pertemuan, wacana dialog dan perbincangan bagi memperkukuh hala tuju pengurusan hal ehwal agama di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pertemuan itu menjadi platform penting untuk menghimpunkan pandangan serta idea konstruktif dalam usaha menggerakkan perubahan dan islah secara menyeluruh.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan interaksi aktif daripada para peserta, sekali gus mencerminkan kesediaan bersama untuk membawa pengurusan hal ehwal agama negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita sedang menggerakkan satu perubahan dan islah yang insya-Allah mampu membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih baik, khususnya dalam konteks hal ehwal agama,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh dilaksanakan dengan memanfaatkan peranan pendakwah, institusi dan organisasi, selain memperkukuh kerjasama strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak industri serta jabatan-jabatan kerajaan.

Tambahnya, segala inisiatif yang digerakkan akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan di peringkat akar umbi.

“Hari ini kita dapat melihat banyak usaha yang telah dilaksanakan mula membuahkan hasil. Perkembangan ini juga telah dibentangkan di Parlimen dan menunjukkan trend yang sangat positif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button