BERITA SEMASA

Pendakwah berterima kasih, hargai teguran JHEAIK

ALOR SETAR – Pendakwah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli berterima kasih dan menghargai teguran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) berhubung video tular membabitkan seorang ulama menunaikan solat bersama bunian.

Beliau turut terbuka jika ada sebarang tindakan yang akan diambil ke atasnya susulan kontroversi itu.

“Saya dipanggil pihak JHEAIK untuk menerima nasihat dan teguran, malah saya amat menghargai teguran itu.

“Saya menghargai teguran dan berterima kasih khususnya kepada Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim atas bimbingan nasihat membina dan berharga.

“(Saya harap) Semua pihak perlu memberi kerjasama kepada JHEAIK dalam isu yang timbul dan dibangkitkan serta memahami semua video lama dianggap tidak sesuai dan semua sudah dipadam atas nasihat JHEAIK,” katanya.

Muhd Zainul Asri berkata, rakaman video berdurasi 3 minit 36 saat yang ditularkan itu adalah video lama dan sudah dipadamkan daripada rekod simpanan medianya sejak Oktober tahun lalu.

Jelas beliau, tindakan memadam semua video yang dikhuatiri mencetuskan kontroversi itu dibuat selepas perjumpaan bersama JHEAIK pada 13 Oktober 2024.

“Sejak tarikh perjumpaan itu, tidak ada sebarang video kontroversi baharu dimuat naik ke mana-mana saluran media sosial kami. Video yang sedang diviralkan pada masa ini adalah rakaman lama yang direkodkan sebelum sesi perjumpaan dengan pihak JHEAIK diadakan.

“Saya menarik balik semua video terdahulu dan ingin menegaskan tiada lagi kandungan bersifat kontroversi akan dimuat naik ke platform media sosial kami,” katanya dalam satu video yang dimuat naik ke akaun media sosial miliknya, semalam.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak terus menyebarkan atau menularkan video lama itu kerana ia tidak mencerminkan pendirian dan tindakan semasanya.

Laporan Malaysia Tribune semalam menyebut, Syeikh Muhd Zainul Asri sudah bertemu dengan wakil JHEAIK kira-kira pukul 10 pagi hari Ahad.

Menurut laporan itu, pendakwah terbabit hadir secara bersemuka bagi memberi keterangan lanjut kepada Syeikh Ismi Anuar berhubung kenyataannya yang menjadi perhatian umum, baru-baru ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button