AGAMABERITA SEMASA

Pendakwah bebas tampil perjelas dakwaan kaitkan dirinya dengan Kultus Korea

SHAH ALAM – Pendakwah bebas, Mahadi Mohd tampil memberikan penjelasan penuh susulan penularan gambar dan video lama yang mengaitkan dirinya dengan dakwaan penglibatan dalam gerakan Kultus Korea – Gereja Unifikasi yang didakwa berlaku sekitar tahun 2010 hingga 2017.

Dalam satu kenyataan rasmi semalam, Mahadi mengakui individu dalam gambar dan video yang tular itu adalah dirinya, namun beliau menafikan sekeras-kerasnya pernah menjadi ahli atau pengikut Gereja Unifikasi yang berpusat di Korea Selatan.

Menurut beliau, penglibatan tersebut berlaku ketika beliau aktif sebagai pendakwah bebas dan jurulatih korporat selepas bersara awal daripada perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 2010 serta terlibat dengan pelbagai program dialog antara agama, seni budaya dan kebajikan sosial bersama pertubuhan bukan Islam.

Gambar menunjukkan Sun Myung Moon (kanan) dan Hak Ja Han yang dianggap pasangan tuhan suami isteri dikenali sebagai True Parent atau Heavenly Parent dalam ajaran kultus Gereja Unifikasi tersebut. – Foto Facebook Ahmad Iqram Mohamad Noor

Mahadi turut menafikan pernah berkhidmat sebagai pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau mana-mana institusi agama di peringkat negeri dan Persekutuan pada tempoh berkenaan.

“Saya diperkenalkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Universal Peace Federation (UPF) Malaysia dan penglibatan saya adalah dalam program kemasyarakatan dan sosial, bukan ritual keagamaan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa UPF pada ketika itu memperkenalkan misi keamanan sejagat termasuk isu Palestin, yang menarik minatnya untuk terlibat secara lebih dekat, selain menerima jemputan menghadiri beberapa program kepimpinan dan latihan di luar negara yang bersifat korporat.

Mengulas mengenai pemakaian mafla dan penyertaan dalam gimik tertentu yang dikaitkan dengan Gereja Unifikasi, Mahadi mengakui perkara itu berlaku, namun menegaskan ia dilakukan atas dasar menghormati jemputan penganjur dan dimaklumkan bahawa ia bukan ritual agama.

“Saya mula menyahaktifkan diri sepenuhnya selepas menyedari fahaman tersebut jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Kajian dan pemerhatian yang saya lakukan mendapati ia bercanggah dengan nilai agama-agama utama, khususnya Islam,” katanya.

Sehubungan itu, Mahadi menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekeliruan dan persepsi negatif yang timbul susulan penularan bahan lama berkenaan termasuk kepada ahli keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan dalam bidang dakwah, pendidikan, perniagaan dan kemasyarakatan.

“Saya juga ingin memohon maaf sedalam-dalamnya kepada semua. Sebagai seorang dael, saya memaafkan semua pihak yang menghujani saya dengan pelbagai kata dan bicara. Hanya Allah SWT yang akan membalas sebaiknya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan sahabat yang menghubungi saya untuk bertabayyun, memberi semangat dan sokongan moral serta menawarkan bantuan.

“Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT, sentiasa berdoa, beristighfar dan bertawakal agar ujian ini menjadi kafarah, meningkatkan iman dan taqarrub kepada-Nya. Saya terima dengan kerendahan hati dan keinsafan terdalam,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ajaran Gereja Unifikasi adalah bertentangan dengan Islam dan wajib dijauhi serta dipantau oleh pihak berkuasa.

Dalam masa sama, Mahadi memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi secara langsung pengkaji kultus, Ahmad Ikram, bagi tujuan tabayyun dan menjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan tanpa prejudis.

“Saya tidak pernah berniat mengkhianati agama dan akidah saya. Isu ini menjadi pengajaran besar agar saya lebih berhati-hati berdakwah dalam era digital,” katanya.

Mahadi turut menyeru pihak berkuasa supaya memberi perhatian serius terhadap kewujudan gerakan kultus asing di negara ini, sambil berharap kekhilafan yang berlaku sekitar 10 hingga 15 tahun lalu dapat dijadikan iktibar bersama.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan memetik firman Allah SWT dalam surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button