Mufti Perlis beri amaran bahaya ajaran kultus Korea, minta pihak berkuasa pantau
KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil bersuara mengenai kebimbangan terhadap kewujudan satu gerakan ajaran berteraskan kultus yang berasal dari Korea dan didakwa aktif di Malaysia termasuk disertai beberapa tokoh politik Muslim.
Menurut beliau, isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta beliau berkongsi maklumat berkaitan gerakan itu bagi menjawab pertanyaan media.
Mohd Asri menjelaskan, beliau sebelum ini tidak pernah mengeluarkan kenyataan umum berhubung perkara tersebut kecuali satu hantaran Facebook bertarikh 3 Disember lalu susulan pembentangan taklimat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
“Taklimat itu mendedahkan kewujudan satu gerakan kultus yang menggunakan nama Jesus dengan dakwaan-dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang, malah tidak diiktiraf oleh aliran Kristian arus perdana.
“Gerakan ini berasal dari Korea dan aktif di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Namun yang lebih membimbangkan, ujar beliau ialah penglibatan beberapa ahli Parlimen Muslim dan individu berpengaruh dalam Parlimen yang dilihat menyertai serta membantu gerakan tersebut dengan gambar dan aktiviti mereka bersama kumpulan berkenaan tersebar sejak bertahun-tahun lalu di dalam dan luar negara.
Mohd Asri berkata, beliau memilih untuk tidak memberikan sebarang respons media selepas isu itu menjadi perhatian meluas kerana yakin pihak keselamatan termasuk Cawangan Khas mempunyai maklumat lebih terperinci.
“Pasukan penyelidik yang membentangkan perkara ini kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis juga telah menyiapkan bahan kajian lengkap termasuk dalam bentuk buku,” katanya yang menulis kenyataan tersebut ketika dalam perjalanan dari Dubai ke Abu Dhabi bagi memenuhi undangan rasmi kerajaan Abu Dhabi.
Mengulas lanjut, Mohd Asri menegaskan bahawa Islam mengiktiraf realiti kepelbagaian agama dan kepercayaan dalam masyarakat, selari dengan penegasan al-Quran bahawa manusia tidak dijadikan dalam satu bentuk kefahaman yang seragam.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa mengiktiraf kepelbagaian tidak bermakna mengiktiraf kebenaran semua ajaran.
“Kita boleh hidup bersama secara aman walaupun tidak mengiktiraf kebenaran akidah pihak lain.
“Namun, sesiapa yang mengiktiraf kebenaran semua agama dari sudut akidah, dia telah terkeluar daripada landasan akidah Islam,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa tindakan mengganggu hak pihak lain untuk hidup aman beragama juga merupakan satu bentuk pelampauan.
Menurut Mohd Asri, ajaran berteraskan kultus berbahaya kerana ia mematikan fungsi akal dan menuntut ketaatan melampau kepada tokoh tertentu tanpa penilaian rasional atau sandaran dalil yang sahih.
“Kultus lahir apabila seseorang tokoh dipuja secara ekstrem sehingga segala tindakannya tidak boleh dipersoalkan walaupun jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta,” katanya.
Beliau menjelaskan, tokoh kultus lazimnya membuat dakwaan luar biasa seperti memiliki unsur ketuhanan, dilantik secara langsung oleh Tuhan, menerima wahyu atau keistimewaan ghaib yang tidak boleh dibuktikan.
“Natijahnya, pengikut menjadi terlalu taksub dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menzalimi pihak lain. Ini berpotensi menggugat keamanan dan ketenteraman negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan pemantauan serius oleh pihak berkuasa sebelum ajaran sedemikian membawa kepada situasi di luar kawalan dan mengakibatkan mangsa.
Mohd Asri turut menjelaskan perbezaan jelas antara ketaatan kepada Nabi Muhammad SAW dan budaya mengkultuskan tokoh lain.
Menurut beliau, keimanan kepada Rasulullah SAW berasaskan bukti kenabian, mukjizat al-Quran, serta ajaran yang selari dengan fitrah dan akal manusia, tanpa unsur penindasan atau kepentingan diri.
“Tiada tokoh lain yang boleh disamakan dengan Nabi Muhammad SAW kerana ajaran Baginda diuji melalui prinsip keadilan, rahmat dan kewarasan termasuk melalui disiplin ketat dalam periwayatan hadis,” katanya.
Atas dasar membendung pengaruh ajaran kultus yang boleh memesongkan akidah umat Islam serta mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan.
“Ia termasuk menyiasat, memantau dan mengambil langkah yang perlu demi keselamatan dan kebaikan negara,” tegasnya.
Dalam satu nada kritikal, Mohd Asri turut mempersoalkan kefahaman konsep ‘MADANI’ sekiranya unsur-unsur kultus seolah-olah diberi ruang atas nama pengurusan agama.
“Perkara ini menjadikan saya sukar memahami makna sebenar ‘MADANI’ dalam konteks tersebut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















