BERITA SEMASA

SKMM, Jakim kerjasama kekang penyebaran video ajaran sesat

CYBERJAYA – Kerjasama di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dipererat bagi menangani penyebaran video berunsur ajaran sesat di negara ini.

SKMM dalam satu kenyataannya memaklumkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu akan diatasi sebaiknya termasuk penyebaran video dari negara jiran yang tular di media sosial.

“Sebarang aduan berhubung penyebaran kandungan berunsur ajaran sesat yang diterima oleh SKMM daripada mana-mana pihak akan dirujuk kepada Jakim untuk penilaian lanjut.

“Malah pada masa yang sama, pihak SKMM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan teknikal berdasarkan permohonan daripada pihak Jakim,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memantau serta menyekat penyebaran sebarang video berunsur ajaran sesat termasuk dari negara jiran yang tular di media sosial.

Menterinya, Fahmi Fadzil menegaskan, SKMM akan bekerjasama dengan Jakim serta majlis-majlis agama negeri dalam usaha mengenal pasti dan mengekang penularan bahan seumpama itu.

Katanya, kerajaan akan memastikan bukan sahaja penularan disekat, tetapi mereka yang terbabit dalam penularan itu juga boleh diambil tindakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button