BERITA SEMASA

Hotel di Pulau Pinang wajib tayang video keselamatan kepada tetamu

SEBERANG PERAI – Pulau Pinang muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang mewajibkan semua hotel menayangkan video keselamatan kepada tetamu .

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu penting memandangkan jumlah pelancong ke negeri berkenaan terus meningkat dengan rekod 8.2 juta pelawat direkodkan pada tahun 2024.

“Pertambahan pelancong turut membawa cabaran, khususnya dari aspek keselamatan melibatkan aktiviti berasaskan air serta kemudahan di hotel,” katanya ketika melancarkan Program Video Kesedaran Keselamatan Kebakaran untuk tetamu hotel di Holiday Inn and Suites di sini, semalam.

Menurut beliau, risiko lemas merupakan isu serius apabila statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan ia berada dalam 10 punca utama kematian tidak disengajakan di seluruh dunia.

“Berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat, purata 320 kes lemas berlaku setiap tahun di seluruh negara, kebanyakannya melibatkan pelancong di kawasan rekreasi,” katanya lagi.

Kon Yeow berkata, faktor keselamatan kini menjadi keutamaan pelancong apabila kajian mendapati mereka cenderung memilih destinasi yang lebih selamat walaupun kos lebih tinggi.

Beliau turut membayangkan dasar itu berpotensi dijadikan penanda aras peringkat nasional sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap tahap keselamatan di Malaysia.

“Bayangkan jika setiap hotel di Malaysia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sama berkaitan keselamatan air dan setiap tetamu diwajibkan menonton video ini… sudah pasti ia mampu mengurangkan kejadian tidak diingini serta meningkatkan keyakinan pengunjung,” katanya lagi.

Tambahnya, dengan sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat, langkah itu dijangka membantu membangunkan rangka kerja keselamatan pelancong yang lebih sistematik di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button