Pulau Pinang terus di peta dunia sukan larian denai
GEORGETOWN – Pulau Pinang sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila menjadi tuan rumah kepada Kailas Penang Skyrace 2025, yang berjaya menghimpunkan lebih 1,200 pelari dari seluruh dunia di Bukit Bendera dalam satu acara bertaraf antarabangsa.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang , Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menyifatkan kejayaan penganjuran acara itu sebagai pencapaian membanggakan yang meletakkan negeri itu dalam kalendar global sukan larian denai.

“Saya berasa bangga bahawa Pulau Pinang sekali lagi mencipta sejarah.
“Kailas Penang Skyrace 2025 bukan sahaja menjadi sebahagian daripada siri dunia berprestij Merrell Skyrunner®, malah turut diperakui oleh International Skyrunning Federation menjadikannya antara dua sahaja perlumbaan seumpamanya di Malaysia,” katanya dalam.satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan itu bukan semata-mata berkenaan dengan perlumbaan, sebaliknya merupakan satu gerakan yang membina semangat komuniti dan menyatukan pelari dari pelbagai latar belakang, budaya dan negara yang berkongsi keghairahan sama terhadap sukan larian denai.
“Acara larian denai adalah lebih daripada semangat kesukanan semata-mata. Ia adalah lambang ketahanan dan semangat utuh komuniti. Ia menghubungkan kita dengan denai, hutan, langit Pulau Pinang dan yang paling penting, dengan satu sama lain,” katanya lagi.

Dalam perlumbaan yang merupakan pusingan keenam Siri Dunia Merrell Skyrunner® itu, pelari muda dari Sepanyol, Marcos Villamuera Izquierdo, mencuri tumpuan dengan menjuarai dua kategori utama 30km Pro Sky dan 10km Short Sky lelaki.
Beliau juga dinobatkan sebagai juara peringkat bagi Siri Trofeo Esteban Olivero Bawah-23 yang buat pertama kalinya dianjurkan di Malaysia.
Izquierdo berkata, meskipun menghadapi cabaran cuaca panas tropika, pengalaman berlumba di dalam hutan dengan suasana unik dan teknikal telah menjadikannya pelari yang lebih baik.
“Saya asalnya hanya mahu berlumba dalam acara 10km, tetapi saya merasakan diri ada peluang untuk melakar pencapaian lebih baik.
“Ia juga latihan yang baik, khususnya untuk bahagian pinggul saya,” katanya lagi.

Dalam kategori wanita 30km Pro Sky, pelari Perancis Iris Pessey muncul juara dengan catatan 4 jam 48 minit 3 saat, sekali gus memperbaiki kedudukan naib juaranya pada edisi tahun lalu.
Pessey mengakui perlumbaan itu sangat mencabar ekoran cuaca panas dan kelembapan tinggi, namun tersentuh dengan layanan mesra rakyat Malaysia.
“Saya cukup terharu dengan layanan yang diterima dan komuniti di sini sungguh hebat. Ia membuatkan saya terasa seolah-olah saya sebahagian daripada mereka,” katanya lagi.
Dalam kategori 50km Sky Ultraks yang turut menjadi sebahagian daripada Kejohanan Asia Trail Master, pelari Filipina Godwin Mirar dan pelari Vietnam Hau Ha masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita.
Atlet Malaysia, Wilsen Singgin, turut membanggakan penyokong tempatan apabila berjaya meraih tempat kedua dalam kategori lelaki.
Kailas Penang Skyrace 2025 dianjurkan oleh MMTF Consultant bersama Malaysia Mountain Goat dan Penang International Hikers, menjadi bukti keupayaan Pulau Pinang untuk menganjurkan acara sukan bertaraf dunia dengan penglibatan komuniti yang kukuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







