BERITA SEMASA

JPV Pulau Pinang keluar 1,398 permit sembelihan luar untuk korban tahun ini

GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 1,398 Permit Sembelihan Luar (PSL) bagi pelaksanaan ibadah korban di seluruh negeri itu sempena Aidiladha tahun ini.

Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 341 permit atau 32.26 peratus berbanding 1,057 permit yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Menurut beliau, sebanyak 6,107 ekor ternakan dijangka dikorbankan tahun ini berbanding 4,220 ekor pada 2025, melibatkan peningkatan sebanyak 1,887 ekor.

“Pecahan ternakan bagi tahun ini melibatkan 5,476 ekor lembu, 542 ekor kambing, 57 ekor bebiri, 26 ekor kerbau dan enam ekor unta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, lembu masih menjadi pilihan utama masyarakat bagi pelaksanaan ibadah korban kerana sesuai untuk agihan, kapasiti penyertaan peserta korban serta faktor ekonomi semasa.

Tambahnya, bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban diperoleh menerusi ternakan tempatan dan import bagi memastikan bekalan mencukupi ketika permintaan meningkat menjelang Aidiladha.

“Antara faktor kekurangan bekalan ternakan tempatan termasuk peningkatan kos makanan haiwan, kenaikan kos operasi ladang, kekangan kawasan penternakan, pengurangan penternak aktif serta ancaman penyakit haiwan yang menjejaskan produktiviti ternakan,” katanya lagi.

Saira Banu turut berkata, pelaksanaan PSL penting bagi memastikan aktiviti korban mematuhi prosedur ditetapkan termasuk aspek kesihatan veterinar, kebajikan haiwan, kebersihan lokasi sembelihan dan keselamatan makanan.

“Permit itu juga memastikan ternakan yang digunakan berada dalam keadaan sihat dan sesuai disembelih selain membolehkan pemantauan oleh pegawai veterinar serta pemeriksa daging dilaksanakan dengan sempurna,” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan semua penganjur korban supaya mendapatkan PSL serta memastikan pengurusan haiwan dan sisa sembelihan dilakukan secara teratur mengikut syarat yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button