POLITIK

Guan Eng bidas Ketua Menteri Pulau Pinang, persoal kenaikan cukai tanah beribu kali ganda

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang yang didakwa melambung tinggi sehingga beribu kali ganda, sekali gus bercanggah dengan Manifesto Perpaduan semasa Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang 2023.

Beliau melahirkan rasa terkejut terhadap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa manifesto bukan dokumen yang mengikat kerajaan negeri daripada melaksanakan dasar baharu.

Menurutnya, semasa pelancaran manifesto bertemakan “Kita Penang, Kita Boleh”, tiada sebarang makluman diberikan bahawa kenaikan kadar cukai tanah secara mendadak akan dilaksanakan.

“Ramai pengundi tidak akan menyokong sekiranya mengetahui lebih awal bahawa kadar cukai tanah boleh meningkat sehingga beribu kali ganda,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata, kenaikan itu memberi kesan besar kepada pemilik tanah termasuk golongan berpendapatan sederhana dan pemilik tanah warisan keluarga.

“Terdapat beberapa kes melibatkan peningkatan cukai tanah secara drastik, termasuk rumah kampung dan tanah milik individu yang tidak tergolong dalam golongan berada,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menolak perbandingan dibuat oleh Kon Yeow yang menyamakan kenaikan cukai tanah dengan projek pembangunan seperti Penang International Financial Centre.

“Projek pembangunan memberi manfaat ekonomi kepada negeri, namun kenaikan cukai tanah secara mendadak hanya membebankan rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan ketepatan sistem pengiraan cukai tanah apabila terdapat kes pengurangan sehingga 80 hingga 90 peratus selepas aduan dibuat.

Menurutnya, perkara itu menunjukkan sistem sedia ada mempunyai kelemahan dan perlu disemak semula secara menyeluruh.
“Jika pengiraan itu tepat dan adil, mengapa perlu pengurangan besar selepas bantahan dikemukakan?” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mengkaji semula kaedah penilaian cukai tanah serta mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kadar lebih munasabah.

Beliau turut berkata, kepentingan rakyat perlu diutamakan selaras dengan semangat manifesto dan prinsip negeri berkebajikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button