BERITA SEMASA

Pulau Pinang contoh tadbir urus cekap – Anwar

SEBERANG JAYA – Pulau Pinang menjadi contoh negeri yang mengamalkan tadbir urus cekap dan berintegriti.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang. 24 Januari 2026. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan negeri itu melaksanakan projek pembangunan tanpa membebankan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kecekapan pentadbiran Pulau Pinang jelas melalui kelulusan pantas projek pembesaran dan pembinaan fasiliti kesihatan awam yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang. 24 Januari 2026. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

“Di Pulau Pinang, nak tambah atau besarkan hospital, kelulusan dibuat dengan cepat dan tiada kos tambahan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 hari ini.

Beliau turut merasmikan blok baharu Hospital Seberang Jaya dan memuji kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bagi memastikan projek siap mengikut jadual.

Anwar berkata, pendekatan proaktif kerajaan negeri wajar dicontohi negeri lain.

“Ada negeri lain, nak buat hospital pun ambil masa berbulan-bulan kerana isu tanah.

“Bila lambat, rakyat marah kerajaan,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, Pulau Pinang kekal antara destinasi pelaburan utama negara hasil amalan tadbir urus telus dan bebas rasuah.

Beliau turut memberi amaran bahawa amalan komisen dan penyalahgunaan kuasa dalam projek pembangunan boleh merosakkan keyakinan pelabur.

“Kalau setiap projek ada komisen, beli ubat pun nak minta komisen, negara mana boleh maju?” katanya lagi.

Selain itu, Anwar menekankan keamanan dan kestabilan negara memberi kelebihan besar kepada negeri ini untuk terus berkembang sebagai hab ekonomi dan perindustrian.

“Keamanan itu asas kepada ekonomi. Pulau Pinang mendapat manfaat besar daripada kestabilan ini,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, dasar Kerajaan MADANI yang menitikberatkan kebajikan rakyat, termasuk memastikan subsidi RON95 dikekalkan, kenaikan tarif elektrik tidak membebankan majoriti rakyat, dan bantuan Tunai Rahmah serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus disalurkan.

Anwar berkata, kerajaan memberi perhatian kepada keadaan sekolah di Pulau Pinang, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Cina dan Tamil, bagi memastikan persekitaran pembelajaran selesa dan berkualiti.

“Rakyat nak tahu sekolah anak-anak mereka macam mana, tandas sekolah, pagar sekolah. Itu yang kita mahu baiki,” katanya lagi.

Majlis Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat pula disifatkan sebagai platform penting untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat serta memupuk perpaduan pelbagai kaum di negeri ini.

Perdana Menteri berharap Pulau Pinang terus menjadi contoh negeri maju berteraskan nilai, integriti dan kebajikan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button