AGAMADALAM NEGERI

IKUT teruskan Program Dakwah Jalanan Santai sasar mualaf dan bukan Islam

Oleh AMIR SARIFUDIN

GEORGE TOWN – Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) meneruskan inisiatif Dakwah Jalanan Santai, satu pendekatan terbuka yang bertujuan menyampaikan maklumat dan kefahaman asas mengenai Islam kepada golongan mualaf dan masyarakat bukan Islam.

Program itu dijalankan tanpa lokasi tetap dan mengambil pendekatan santai dengan mendekati masyarakat di pelbagai lokasi tumpuan awam seperti kedai makan, kawasan riadah, masjid, tempat lapang serta kawasan awam lain.

Menurut Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim, pendekatan dakwah secara terbuka itu lebih sesuai dengan realiti kehidupan mualaf yang sering terikat dengan pelbagai komitmen termasuk pekerjaan harian.

“Disebabkan setiap individu mempunyai tanggungjawab masing-masing, kehadiran ke program ini adalah secara fleksibel, bergantung pada masa lapang mereka.

“IKUT juga akan menghubungi mereka dari semasa ke semasa untuk memaklumkan lokasi dan waktu program,” katanya.

Beberapa orang mualaf menjawab soalan kuiz dalam program Dakwah Jalanan di George Town, Pulau Pinang.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, dengan pengisian utama seperti solat berjemaah – termasuk solat Subuh – diikuti aktiviti santai seperti bersarapan secara berjemaah.

Tambah Zolkifly, sesi pengajian agama juga diadakan, merangkumi pelajaran asas seperti tatacara solat, bacaan al-Quran serta pengenalan kepada rukun Islam dan iman.

Menariknya, kelas tersebut disampaikan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu dan Hokkien, bergantung kepada kehadiran tenaga pengajar sukarelawan.

“Sebagai contoh, pada hari-hari tertentu, jika ada tenaga pengajar yang fasih berbahasa Hokkien, maka kelas akan diadakan dalam bahasa tersebut. Ini memudahkan mualaf yang lebih selesa dalam bahasa ibunda mereka,” jelas beliau.

IKUT turut mengadakan sesi kuiz interaktif mengenai Islam bagi menggalakkan penyertaan aktif peserta dan menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik dan mesra komuniti.

Program Dakwah Jalanan Santai bukan sahaja menjadi platform mendekati masyarakat bukan Islam, malah berfungsi sebagai sokongan berterusan kepada mualaf dalam memperkukuh asas keimanan dan amalan mereka dalam kehidupan seharian.

Selain berkonsepkan santai dan solat berjemaah, program Dakwah Jalanan juga melibatkan bersarapan beramai-ramai bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan mualaf.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button