JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket proses dadah tumpas, 3 lelaki dicekup rampasan cecah RM1.17 juta

GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan penyimpanan dadah selepas menahan tiga lelaki warga tempatan dalam beberapa serbuan berasingan di Seberang Perai Utara dan Barat Daya, Pulau Pinang pada 20 hingga 21 Februari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ts Azizee Ismail berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bermula jam 9 pagi hingga 8 pagi keesokan hari.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 37 hingga 58 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti memproses serta menyimpan dadah jenis syabu dan heroin sejak Disember tahun lalu.

Dalam serbuan pertama di Seberang Perai Utara, polis merampas heroin seberat 5,000 gram dan syabu seberat 10,332 gram yang disimpan dalam beberapa beg.

Serbuan kedua di Barat Daya pula membawa kepada penemuan heroin seberat 3,032 gram selain bahan kimia, kafein seberat 18,500 gram dan peralatan memproses dadah.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM925,000 dan boleh digunakan kira-kira 70,000 kali penggunaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain dadah, polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM245,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Antara barangan disita termasuk tiga buah kereta jenis Honda Accord, Honda City dan Perodua Myvi, sebuah motosikal Yamaha, barang kemas serta wang tunai.

Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM1.17 juta.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah, namun semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Azizee berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN dan kerjasama orang awam.

“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN 012-2087 222,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button