BERITA SEMASA

YADIM terima 12 ALPA baharu

PUTRAJAYA – Seramai 12 individu profesional berkelayakan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) baharu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bagi memacu dan memperkasa inisiatif melestari gerakan dakwah badan ini.

Lantikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkuatkuasa pada 3 Mei 2023 bagi tempoh lantikan selama dua tahun.

Mereka adalah Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus (Yang Dipertua YADIM); Prof. Dr. Adi Anuar Azmin (Timbalan Yang Dipertua); Prof. Madya Datuk Dr. Izhar Ariff Mohd. Khashim; Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj; Prof TS Dr. Zuriati Ahmad Zulkarnain dan Dr. Johari Abdullah @ Yap Guan Kheng.

Turut dilantik Bashir Mohamed Al-Azhari; Sainuri Yahmin; Alwi Morshidi; Syamsul Maàrif Ismail; Fatimah Syarha Mohd Nordin dan Muhamad Faisal Abdul Aziz.

Dr. Na’im Mokhtar (dua dari kiri) bersama CEO YADIM, Zamri Zainal Abidin (kiri) menyerahkan watikah lantikan ALPA YADIM di Putrajaya hari ini.

Watikah lantikan mereka disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar di sini hari ini.

Dr. Na’im berkata, barisan ALPA yang baharu dilantik itu diharap dapat membantu YADIM melahirkan pendakwah yang bukan sahaja dapat menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga menjadi contoh dalam masyarakat.

“Kesemua yang dilantik mewakili pelbagai lapisan masyarakat serta mempunyai kemahiran, disiplin serta pengalaman mendalam dalam bidang masing masing seperti pendidikan, khidmat masyarakat, dakwah, keagamaan, pempengaruh dan sebagainya.

“YADIM yakin gandingan ALPA baharu dilantik ini dapat membawa YADIM melaksanakan teras tanggungjawab dakwahnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan sosial,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button