BERITA SEMASASUKAN

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rosle Md Derus meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Arena bola sepak negara kehilangan seorang lagi tokoh apabila bekas pemain kebangsaan, Rosle Md Derus, meninggal dunia pada usia 48 tahun hari ini.

Pemergian Allahyarham disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu hantaran di media sosial yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solihin,” menurut kenyataan FAM.

Rosle merupakan antara pemain yang pernah mewarnai skuad kebangsaan pada penghujung 1990-an apabila dipilih mewakili Malaysia dalam Piala Dunia Remaja FIFA 1997 serta kempen Kelayakan Sukan Olimpik Sydney 2000.

Sepanjang karier profesionalnya, beliau pernah beraksi bersama beberapa pasukan dalam kancah bola sepak tempatan termasuk Perlis, Kuala Lumpur dan Terengganu, selain dikenali sebagai pemain yang komited serta berpengalaman.

Selepas menggantung but, Rosle terus menabur bakti dalam dunia bola sepak menerusi bidang kejurulatihan dan pembangunan pemain.

Allahyarham pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Felcra FC, penolong ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Kedah Darul Aman FC serta Pengarah Teknikal Penang FC.

Pengalaman luas yang dimiliki menjadikan beliau antara jurulatih yang aktif membimbing bakat-bakat muda dan menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara di pelbagai peringkat.

Pemergian Rosle disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti bola sepak tempatan, khususnya dalam kalangan bekas rakan sepasukan, pemain dan jurulatih yang pernah bekerjasama dengannya.

Terdahulu, laman Facebook Arena Sukan Perlis memohon doa ramai kerana Allahyarham dikatakan berada dalam keadaan kritikal semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button