Son mohon maaf akui kekalahan Korea Selatan di Piala Dunia sukar diterima
SEOUL – Kapten pasukan Korea Selatan, Son Heung-min, tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat dan penyokong negara itu susulan penyingkiran mengejut skuad Taegeuk Warriors pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik selepas tamat kempen Korea Selatan, Son mengakui masih sukar menerima hakikat kegagalan pasukannya, sambil menegaskan beliau tidak mahu berpura-pura atau mengelak daripada berdepan realiti tersebut.
“Saya tidak tahu di mana untuk bermula. Saya tidak boleh berpura-pura tidak tahu, dan saya tidak mahu mengelakkan realiti.
“Pertama sekali, saya ingin dengan tulus memohon maaf kepada rakyat Korea Selatan dan peminat yang menyukai bola sepak,” katanya di Instagram miliknya semalam.
Menurut Son, sebagai individu yang amat mencintai bola sepak, beliau berasa amat kecewa dan sedih selepas menyaksikan perjalanan pasukannya berakhir lebih awal daripada jangkaan di pentas tertinggi dunia itu.
Beliau mengakui setiap hari sejak penyingkiran tersebut dipenuhi dengan pelbagai emosi, selain turut merasai kesedihan yang sedang ditanggung oleh para penyokong.
“Kejohanan ini lebih berharga bagi saya berbanding apa-apa. Saya sentiasa berkata bahawa ia adalah pentas impian seorang kanak-kanak, namun impian itu kini runtuh dan ia terasa sangat rumit serta menyakitkan.
“Sejujurnya, sehingga kini saya masih sukar menerima realiti ini. Apabila memikirkan penyokong yang mengalami kekecewaan dan kesakitan lebih besar daripada saya, saya berasa teragak-agak untuk bercakap mengenai perasaan sendiri, namun saya percaya perasaan kami tidak jauh berbeza,” katanya.
Son turut mengakui bertanggungjawab terhadap kegagalan pasukan kerana tidak mampu membalas segala masa, kepercayaan dan sokongan yang diberikan penyokong sepanjang kejohanan.
“Saya tahu banyak perkara telah dikorbankan demi kejohanan ini. Saya juga berasa sangat bertanggungjawab kerana tidak dapat membalas masa, hati dan sokongan yang anda semua berikan kepada kami. Saya benar-benar minta maaf.
“Pada masa sama, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terus percaya kepada saya, menyokong kami dan bersama kami sehingga ke penghujung,” katanya.
Beliau berkata, selepas ini beliau akan terus melakukan yang terbaik untuk menyumbang kepada Korea Selatan mengikut kemampuan dan peranannya.
Dalam pada itu, Son turut merayu agar penyokong tidak melemparkan kritikan melampau terhadap rakan sepasukannya, sebaliknya terus memberikan semangat kepada semua pemain.
“Akhirnya, walaupun saya berasa berat hati untuk meminta sekali lagi dalam keadaan ini, saya dengan tulus berharap penyokong terus memberikan semangat dan sokongan kepada semua pemain, dan tidak terlalu mengkritik atau melukakan mereka.
“Terima kasih kerana membaca hantaran yang panjang ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















