BERITA SEMASASUKAN

Austria berjaya lolos ke Piala Dunia 2026

VIENNA – Harapan Bosnia untuk mencipta kemenangan bergaya di gelanggang lawan tidak kesampaian apabila Austria bangkit di hujung permainan bagi memastikan kemaraan mereka ke Piala Dunia 2026, sekali gus menggenggam gelaran juara Kumpulan H selepas terikat 1-1 awal pagi tadi.

Kemenangan dramatik itu juga menamatkan penantian panjang Austria yang bakal membuat penampilan pertama di pentas terbesar dunia sejak edisi 1998.

Bosnia yang menamatkan saingan di tangga kedua dengan 17 mata, iaitu dua mata di belakang Austria yang kini perlu melalui pusingan play-off pada Mac depan bagi merebut slot ke kejohanan yang akan dihoskan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Terdahulu, Bosnia mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-12 apabila Haris Tabakovic menanduk masuk bola dari jarak dekat, meneruskan rentak cemerlangnya selepas turut menjaringkan gol dalam tiga aksi kelayakan terakhir termasuk kemenangan 3-1 ke atas Romania.

Memasuki babak kedua, Bosnia memilih untuk bertahan dan menunggu peluang melakukan serangan balas, tetapi tekanan berterusan Austria akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-77.

Ketika situasi kelam-kabut di hadapan gawang, hantaran silang Marcel Sabitzer melantun ke palang sebelum singgah tepat di kaki Michael Gregoritsch, yang melepaskan rembatan padu untuk menghasilkan gol antarabangsa ke-23, sekali gus gol paling berharga dalam kariernya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button