Piala Dunia: Korea Selatan bangkit tundukkan Republik Czech 2-1 dalam aksi pembukaan
GUADALAJARA – Korea Selatan memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kanan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Czech 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, hari ini.
Skuad Korea Selatan yang diketuai Son Heung-min mendominasi sebahagian besar perlawanan, namun terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menterjemahkan penguasaan mereka kepada kemenangan.
Pasukan Asia itu menguasai permainan sejak awal perlawanan dengan beberapa peluang terhidang, namun gagal menyempurnakan peluang menyebabkan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Heung-min hampir membuka tirai jaringan buat Korea Selatan, namun percubaannya melambung tinggi sebelum satu lagi rembatan tersasar walaupun berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.
Sebaliknya, Republik Czech terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila Ladislav Krejci menanduk masuk gol pembukaan sejurus selepas babak kedua bermula.
Bagaimanapun, tekanan berterusan Korea Selatan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-67 menerusi Hwang In-beom yang tenang memperdayakan penjaga gol, Matej Kovar sebelum melambung bola ke dalam gawang untuk gol penyamaan.
Republik Czech sempat menjaringkan gol kedua, namun jaringan tersebut dibatalkan, sekali gus memberi kelegaan kepada Korea Selatan.
In-beom terus memainkan peranan penting apabila mencipta gol kemenangan pada minit ke-80 menerusi hantaran lintang yang berjaya disudahkan pemain gantian, Oh Hyeon-gyu.
Wisel penamat disambut penuh emosi oleh pemain Korea Selatan, dengan Heung-min dilihat meraikan kemenangan berharga itu selepas membantu pasukannya mengutip tiga mata pertama kejohanan.
Korea Selatan akan meneruskan cabaran menentang tuan rumah bersama, Mexico, yang sebelum itu menewaskan Afrika Selatan 2-0 pada 18 Jun depan.
Republik Czech pula dijadual berdepan Afrika Selatan dalam satu lagi aksi penting kumpulan pada tarikh yang sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















