BERITA SEMASASUKAN

UEFA boikot semua kejohanan FIFA sekiranya Infantino teruskan pelan jual kepentingan Piala Dunia

LONDON – Kesemua 55 negara anggota Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebulat suara memutuskan untuk memboikot Piala Dunia atau mana-mana kejohanan anjuran FIFA sekiranya badan dunia itu meneruskan cadangan menjual sebahagian kepentingan temasya itu kepada firma pelaburan swasta berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Mesyuarat tergempar yang berlangsung hampir dua jam semalam berakhir dengan pendirian bersama, meskipun sebelum ini wujud kebimbangan bahawa negara-negara kecil mungkin terpengaruh dengan tawaran kewangan di bawah pelan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

The Guardian yang memetik kenyataan UEFA berkata, kesemua negara anggota “sebulat suara dan tanpa kompromi menolak” cadangan berkenaan.

“Hasil daripada perbincangan hari ini (semalam), tiada pasukan kebangsaan UEFA akan menyertai sebarang pertandingan FIFA selagi cadangan ini masih diteruskan, melainkan ia dibatalkan sepenuhnya dan jaminan penuh diberikan bahawa FIFA tidak akan sekali-kali lagi membuka urus tadbir atau kejohanannya kepada pemilikan swasta,” kata kenyataan itu lagi.

Persatuan bola sepak (FA) di seluruh Eropah dijangka menghantar notis rasmi kepada FIFA minggu ini bagi memaklumkan ancaman untuk memulaukan kejohanan masa depan sekiranya rancangan penjualan kepentingan itu tidak ditarik balik.

Situasi itu meletakkan Infantino dalam kedudukan sukar untuk meneruskan pelannya.

Terdahulu, negara-negara ahli diberikan tempoh sehingga 19 September untuk menyatakan persetujuan, namun tekanan kini semakin memuncak supaya cadangan itu dibatalkan sepenuhnya.

Walaupun majoriti FA Eropah sebelum ini menyatakan sokongan terhadap pemilihan semula Infantino pada Mac tahun depan, pendirian tegas UEFA itu dijangka melemahkan kedudukannya.

Jika boikot itu diteruskan, kejohanan pertama peringkat senior yang akan terjejas ialah Piala Dunia Wanita pada tahun hadapan, manakala kejohanan peringkat umur pertama yang dijangka dipulaukan ialah Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun yang dijadual berlangsung di Poland bermula 5 September.

Enam daripada 24 pasukan bertanding, termasuk England, merupakan wakil negara anggota UEFA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button