AGAMA

Jangan jadikan talak bahan gurauan, pertaruhan – Dr Zulkifli Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan agar tidak sesekali mempermainkan lafaz talak sama ada dalam bentuk gurauan, emosi mahupun pertaruhan, kerana ia boleh membawa implikasi besar terhadap status perkahwinan menurut hukum syarak.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, isu tular membabitkan seorang suami yang didakwa melafazkan talak tiga sekiranya Argentina tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 wajar dijadikan pengajaran kepada semua pasangan suami isteri.

Menerusi hantaran di platform Threads, beliau menjelaskan bahawa menurut pandangan jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali, talak yang digantung dengan sesuatu syarat akan jatuh apabila syarat yang ditetapkan benar-benar berlaku.

“Berdasarkan pandangan jumhur, apa yang dilafazkan suami itu ialah, ‘Kalau Argentina kalah, isteriku tertalak tiga.’

“Kemudian syarat itu benar-benar berlaku iaitu Argentina kalah, maka talak tersebut jatuh mengikut pandangan majoriti ulama,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran mengenai tiga perkara yang tidak boleh dipermainkan iaitu nikah, talak dan rujuk kerana gurauan mengenainya tetap dianggap serius di sisi syarak.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli menasihatkan setiap Muslim supaya sentiasa berhati-hati menjaga tutur kata kerana sesuatu lafaz yang diucapkan dalam keadaan bergurau atau ketika dipengaruhi emosi boleh memberi kesan besar kepada kehidupan dan institusi keluarga.

“Seorang Mukmin hendaklah sentiasa menjaga lisannya. Ada kalanya satu lafaz hanya mengambil beberapa saat untuk diucapkan, tetapi kesannya mampu mengubah seluruh kehidupan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pasangan yang berdepan situasi seumpama itu supaya segera mendapatkan nasihat dan pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pejabat agama bagi menentukan kedudukan lafaz talak mengikut hukum syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang wanita bahawa suaminya melafazkan talak tiga sebagai syarat pertaruhan sekiranya Argentina tewas dalam aksi final Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan perbahasan dalam kalangan netizen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button