SUKAN

Iran dijangka beraksi di Piala Dunia 2026 – FIFA

WASHINGTON – Presiden FIFA, Gianni Infantino menegaskan Iran dijangka akan mengambil bahagian dalam Piala Dunia FIFA 2026 meskipun ketegangan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat menimbulkan persoalan mengenai penyertaan negara itu.

Menurut beliau, penyertaan Iran tidak wajar dipertikaikan memandangkan pasukan kebangsaan negara berkenaan telah melayakkan diri secara sah dan berhak mewakili rakyat mereka di pentas dunia.

“Iran akan datang. Kami berharap menjelang waktu itu, situasi akan menjadi aman, yang pastinya akan membantu.

“Namun, Iran mesti datang, mereka mewakili rakyat mereka, mereka telah layak dan pemain mahu bermain,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perlawanan melibatkan Iran yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat pada Jun depan.

iran
Pasukan bola sepak kebangsaan Iran.

Sebelum ini, penyertaan Iran menjadi tanda tanya susulan konflik di rantau Asia Barat, termasuk ketegangan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel.

Bagaimanapun, Infantino menegaskan sukan perlu kekal bebas daripada pengaruh politik.

“Sukan harus berada di luar politik. Jika tiada pihak lain yang percaya dalam membina jambatan dan memastikan perpaduan, maka kami di FIFA akan melaksanakan tanggungjawab itu,” katanya.

Dalam pada itu, FIFA komited memastikan semua pasukan yang layak dapat menyertai kejohanan tanpa halangan, termasuk dari segi urusan visa dan keselamatan.

Malah, badan induk bola sepak dunia itu kini bekerjasama rapat dengan negara tuan rumah bagi menjamin kelancaran penyertaan semua pasukan.

Iran sebelum ini mengesahkan tempat ke Piala Dunia FIFA 2026 menerusi saingan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia.

Edisi 2026 bakal mencipta sejarah sebagai yang terbesar dengan penyertaan 48 pasukan berbanding 32 sebelum ini.

Kejohanan itu akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, dengan perlawanan pembukaan dijadual berlangsung pada 11 Jun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button