SUKAN

Piala Dunia 2026: Brazil, Maghribi seri 1-1 dalam aksi sengit

NEW YORK – Brazil dan Maghribi memulakan kempen Kumpulan C Piala Dunia 2026 dengan berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dalam perlawanan sengit di Stadium MetLife, awal pagi tadi.

Pertembungan dua pasukan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia itu mempamerkan aksi berkualiti tinggi dengan kedua-duanya saling berbalas serangan dan mencipta beberapa peluang berbahaya sepanjang 90 minit permainan.

Maghribi terlebih dahulu menceriakan penyokong mereka apabila Ismael Saibari meledak gol pembukaan pada minit ke-22 selepas berjaya menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson Becker.

Wakil dari benua Afrika Utara itu tampil lebih agresif pada awal permainan dengan berjaya mengekang pergerakan jentera serangan Brazil selain mengancam menerusi beberapa serangan balas pantas.

piala dunia
Aksi Ayoub Amaimouni yang menguji kepantasan penjaga gol Brazil, Alisson Becker.

Bagaimanapun, kelebihan Maghribi hanya bertahan 10 minit apabila Brazil menyamakan kedudukan menerusi jaringan bintang utama mereka, Vinicius Junior pada minit ke-32.

Pemain sayap Real Madrid itu menghasilkan rembatan lencong menarik yang gagal diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou sekali gus mengikat kedudukan 1-1.

Memasuki separuh masa kedua, Brazil meningkatkan tekanan dengan pengendalinya melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Danilo, Fabinho, Matheus Cunha dan Luiz Henrique bagi mencari gol kemenangan.

Peluang terbaik Selecao hadir pada minit ke-84 menerusi Raphinha, namun percubaan pemain Barcelona itu berjaya ditepis Bounou yang terus menjadi benteng kukuh Maghribi.

Maghribi pula hampir mencuri tiga mata pada masa kecederaan apabila Neil El Aynaoui melepaskan rembatan jarak jauh yang memaksa Alisson bekerja keras untuk menyelamatkan gawangnya.

Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, menyaksikan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata dalam saingan yang dijangka terus sengit bagi merebut slot ke pusingan seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button