Piala Dunia 2026: Uruguay bangkit elak kekalahan, Arab Saudi raih satu mata berharga
MIAMI – Uruguay bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Arab Saudi 1-1 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Miami awal pagi tadi, sekali gus memastikan saingan kumpulan itu terus terbuka selepas semua pasukan kini berkongsi satu mata.
Keputusan itu menyusul selepas satu lagi perlawanan Kumpulan H menyaksikan juara Eropah, Sepanyol seri tanpa jaringan menentang pendatang baharu, Cape Verde.
Arab Saudi terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pertahanan, Abdulelah Al-Amri empat minit sebelum tamat babak pertama, namun Uruguay berjaya menyamakan kedudukan menerusi Maxi Araujo pada minit ke-80.
Uruguay yang tiba lewat ke Amerika Syarikat (AS) akibat masalah dokumentasi penerbangan sebenarnya bermula lebih baik apabila Araujo hampir meletakkan pasukannya di depan seawal minit kelima, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais.
Dalam cuaca panas melebihi 30 darjah Celsius, kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang berkualiti sebelum Al-Owais sekali lagi bertindak cemerlang menafikan tandukan Federico Vinas selepas setengah jam permainan.
Arab Saudi yang banyak bergantung kepada serangan balas akhirnya mendahului apabila Al-Amri menyambar bola muntah hasil situasi sepakan penjuru selepas Muslera gagal mengawal kemas tandukan awal.
Tersentak dengan jaringan itu, jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua termasuk mengeluarkan Darwin Nunez bagi memperkukuh jentera serangan.
Perubahan tersebut memberi impak apabila Uruguay mula menguasai permainan.
Manuel Ugarte hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-60, namun rembatan jarak jauhnya hanya terkena tiang gol.
Tekanan berterusan Uruguay akhirnya membuahkan hasil apabila Al-Owais gagal mengendalikan bola dengan kemas sebelum Araujo pantas menyambar peluang untuk menjaringkan gol penyamaan.
Uruguay terus memburu gol kemenangan pada penghujung perlawanan, namun Arab Saudi berjaya bertahan dengan baik untuk membawa pulang satu mata berharga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








