
Ronaldo cipta sejarah jadi pemain pertama jaring gol dalam 6 edisi Piala Dunia
HOUSTON – Cristiano Ronaldo menamatkan kemarau jaringannya apabila membantu Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia 2026 di Houston.
Penyerang berusia 41 tahun itu mencipta sejarah baharu apabila menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia yang berbeza.
Dua gol yang dihasilkan pada babak pertama bukan sahaja melegakan Ronaldo selepas melalui tempoh kritikan yang berterusan, malah mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman.
Portugal bermula garang apabila Ronaldo membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi penyudah jarak dekat hasil hantaran Joao Cancelo.

Pada minit ke-17, Nuno Mendes menggandakan kelebihan Portugal menerusi sepakan percuma yang memperdayakan benteng Uzbekistan selepas satu helah dirancang bersama Ronaldo.
Portugal terus menguasai permainan dan Ronaldo menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-39 selepas menerima hantaran Bruno Fernandes sebelum mudah menewaskan penjaga gol Uzbekistan, Abduvokhid Nematov.
Pada babak kedua, Portugal menambah jaringan keempat apabila sepakan sudut Bruno Fernandes menghasilkan gol sendiri selepas bola terkena beberapa pemain Uzbekistan sebelum melintasi garisan gol pada minit ke-60.

Rafael Leao melengkapkan kemenangan bergaya Portugal menerusi rembatan padu pada minit ke-87.
Jurulatih Portugal, Roberto Martínez, memuji tahap konsistensi dan ketahanan Ronaldo yang masih mampu beraksi di pentas tertinggi walaupun usianya semakin meningkat.
Bagaimanapun, beliau mengakui ujian sebenar Portugal hanya akan tiba apabila berdepan pasukan lebih kuat pada pusingan kalah mati.
Kemenangan besar itu meletakkan Portugal dalam kedudukan kukuh untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala Uzbekistan jelas bergelut untuk menandingi kualiti juara Eropah 2016 tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








