BERITA SEMASASUKAN

Pasukan Eropah mahu boikot Piala Dunia?

LONDON – Negara anggota Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dijangka mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan memboikot Piala Dunia selepas kesatuan itu mengecam rancangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjual pegangan dalam temasya berkenaan kepada pelabur swasta.

Laporan The Times semalam mendedahkan, Presiden FIFA, Gianni Infantino sedang mempertimbangkan cadangan menjual sebahagian kepentingan komersial Piala Dunia kepada pelabur swasta menerusi penubuhan sebuah syarikat baharu dalam urus niaga yang dianggarkan bernilai kira-kira £15 bilion (RM81.53 bilion).

FIFA kemudiannya mengesahkan cadangan itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas laporan berkenaan diterbitkan.

Menurut laporan itu, Infantino berpotensi dilantik sebagai pesuruhjaya syarikat baharu berkenaan selepas menamatkan tempoh perkhidmatannya dengan FIFA pada 2031 dan berpotensi memperoleh pendapatan melebihi USD$50 juta (RM204.41 juta) setahun.

Cadangan itu sekiranya diterima, akan diuruskan firma kewangan, JPMorgan sebagai penasihat, sementara Thrive Capital yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Josh Kushner, dijangka mengetuai konsortium pelabur berkenaan.

Sebgai rekod, Josh merupakan adik kepada Jared Kushner iaitu menantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Cadangan tersebut bagaimanapun menerima kecaman meluas daripada pelbagai pihak dalam arena bola sepak dengan satu sumber yang dipetik The Times menyifatkannya sebagai “bom nuklear” kepada sukan itu, manakala seorang lagi berpendapat ia “berpotensi jauh lebih buruk daripada Liga Super Eropah.”

Menurut Sky Sports, ahli-ahli UEFA akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu ini bagi membincangkan kemungkinan memboikot Piala Dunia sebagai tanda bantahan terhadap cadangan Infantino, selain meneliti langkah lain untuk menghalangnya.

Jika boikot itu diteruskan, beberapa kuasa besar bola sepak Eropah termasuk juara bertahan Piala Dunia, Sepanyol, serta England dan Perancis yang mara ke separuh akhir edisi lalu, berkemungkinan tidak akan menyertai temasya berkenaan.

Difahamkan, Persatuan Bolasepak England (FA) langsung tidak dimaklumkan mengenai cadangan tersebut sebelum ia didedahkan kepada umum.

UEFA, yang sebelum ini beberapa kali mengkritik FIFA dan kepimpinan Infantino, segera mengeluarkan kenyataan membantah rancangan berkenaan.

“Cadangan ini melangkaui batas yang tidak sepatutnya dilintasi oleh institusi pentadbiran bola sepak. UEFA memandang serius perkara ini, begitu juga semua persatuan bola sepak kebangsaan.

“Semua pihak berkepentingan termasuk liga, kelab, pemain, penyokong dan kerajaan juga perlu mengambil serius isu ini.

“Maruah dan tadbir urus bola sepak bukan aset untuk diperdagangkan, lebih-lebih lagi tanpa ketelusan mengenai siapa yang bakal meraih keuntungan kewangan. Tiada siapa memiliki bola sepak dan FIFA tidak berhak menjualnya,” kata UEFA dalam kenyataan tersebut.

Boikot itu berpotensi bermula seawal tahun depan apabila Piala Dunia Wanita dijadual berlangsung di Brazil pada 24 Jun hingga 25 Julai.

UEFA sebelum ini pernah menunjukkan pendiriannya apabila Presidennya, Aleksander Ceferin, menegaskan lima tahun lalu bahawa negara-negara Eropah tidak akan menyertai Piala Dunia sekiranya kejohanan itu diadakan setiap dua tahun berbanding format empat tahun sekali yang digunakan ketika ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button