Piala Dunia 2026: Penyokong Jepun raih pujian, bersihkan stadium selepas aksi menentang Belanda
TEXAS – Penyokong bola sepak Jepun sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila mereka dilihat membersihkan tempat duduk penonton selepas perlawanan Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Jepun seri 2-2 dengan Belanda di Texas kelmarin.
Selepas wisel penamat dibunyikan, sekumpulan penyokong Jepun tidak terus meninggalkan stadium, sebaliknya mengutip botol minuman, cawan dan pelbagai jenis sampah yang ditinggalkan di kawasan tempat duduk sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna biru.
Menariknya, beg plastik yang sama digunakan oleh penyokong Jepun beberapa minit sebelum itu untuk memeriahkan suasana perlawanan apabila mereka melambai-lambaikannya bagi meraikan jaringan penyamaan lewat permainan oleh Daichi Kamada pada minit ke-88 hasil sepakan penjuru Koki Ogawa.
Aksi penuh berdisiplin itu tular di media sosial selepas dikongsikan oleh FIFA menerusi platform X, sekali gus mengundang pujian daripada peminat bola sepak di seluruh dunia.

Dalam video yang dikongsikan, seorang penyokong Jepun menjelaskan bahawa amalan membersihkan stadium selepas perlawanan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat negara itu.
“Ini adalah budaya kami. Ia melambangkan rasa hormat terhadap semua pihak, termasuk pemain, penyokong dan juga stadium.
“Kami berasa bertuah dapat berada di sini, jadi kami tidak mahu meninggalkan tempat ini dalam keadaan kotor,” katanya.
Amalan tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana penyokong Jepun telah lama dikenali dengan sikap menjaga kebersihan di stadium, malah tindakan mereka mula mendapat perhatian antarabangsa sejak Piala Dunia 1998 di Perancis.
Tradisi itu terus dipraktikkan dalam setiap kejohanan Piala Dunia selepas itu termasuk ketika berlangsungnya Piala Dunia 2022 di Qatar.
Malah, tindakan mereka turut menjadi inspirasi kepada penyokong dari negara lain untuk melakukan perkara yang sama selepas tamat perlawanan.
Menurut Profesor Sosiologi, Scott North, budaya menjaga kebersihan dalam kalangan rakyat Jepun diterapkan sejak kecil.
“Kanak-kanak di Jepun lazimnya bertanggungjawab membersihkan bilik darjah mereka sendiri di sekolah, sekali gus membentuk sikap menghargai dan menjaga ruang awam yang dikongsi bersama.
“Amalan membersihkan kawasan stadium ketika acara besar seperti Piala Dunia juga menjadi cara rakyat Jepun menunjukkan kebanggaan terhadap budaya dan nilai yang mereka pegang,” katanya memetik laporan BBC News.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








