BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

KUSKOP sasar jualan RM80 juta di FOODEX Japan 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi nilai jualan sehingga RM80 juta menerusi penyertaan dalam International Food and Beverage Exhibition (FOODEX Japan 2026), di Tokyo Big Sight, Jepun.

FOODEX Japan 2026 merupakan pameran perdagangan makanan dan minuman terbesar di Asia yang menghimpunkan lebih 3,000 pempamer dari 80 negara pada edisi tahun ini.

Dalam satu kenyataan, KUSKOP memaklumkan pameran yang berlangsung dari 10 hingga 13 Mac itu disertai 31 syarikat dan tiga koperasi Malaysia dalam misi perdagangan antarabangsa bagi mempromosikan produk makanan dan minuman tempatan ke pasaran global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, Jepun merupakan antara pasaran premium dunia yang menuntut standard kualiti yang tinggi.

Menurut beliau, kejayaan menembusi pasaran tersebut akan meningkatkan kredibiliti serta daya saing produk Malaysia di peringkat global.

“Penyertaan ini juga selari dengan strategi ABCD KUSKOP iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang menjadi kerangka utama kementerian dalam memperkasa usahawan tempatan,” katanya.

Delegasi KUSKOP diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama agensi di bawah kementerian termasuk SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Misi perdagangan itu turut disokong oleh agensi strategik lain iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Selain menyertai pameran, delegasi tersebut turut dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung ASEAN-Japan Centre (AJC), Dr Hirabayashi Kunihiko bagi meneroka potensi kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Beberapa sesi libat urus bersama pemain industri global turut diadakan bagi memperluas jaringan perniagaan usahawan Malaysia.

Sementara itu, KUSKOP menekankan pelaksanaan misi perdagangan ini merupakan sebahagian usaha strategik negara dalam menyokong agenda Malaysia MADANI.

“Usaha berkenaan khususnya dalam memperluas jaringan ekonomi, perdagangan dua hala serta meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di peringkat antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button