SUKAN

Lebih 23 juta tandatangan petisyen desak FIFA gantung Argentina daripada Piala Dunia

ZURICH – Satu petisyen dalam talian yang menggesa Argentina digantung daripada menyertai kejohanan Piala Dunia FIFA pada masa depan didakwa meraih lebih 23 juta tandatangan dalam tempoh kurang seminggu, susulan dakwaan badan induk bola sepak dunia itu memihak kepada juara bertahan berkenaan.

Petisyen yang dilancarkan menerusi laman sesawang argentinaout.com ketika Piala Dunia 2026 berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu mendakwa FIFA serta pengadil memberikan layanan istimewa kepada Argentina dan bintang utamanya, Lionel Messi.

Menerusi petisyen berkenaan, penganjur mendakwa keputusan beberapa perlawanan membabitkan Argentina diadili secara berat sebelah sehingga menimbulkan persoalan mengenai keabsahan pengadilan.

“Petisyen itu turut menggesa FIFA menyingkirkan Argentina daripada saingan Piala Dunia bagi memberi peluang sama rata kepada negara lain,” lapor Royanews, baru-baru ini.

Kempen tersebut tular di media sosial dan mendakwa menerima sokongan penyokong dari 170 negara, terutama selepas beberapa keputusan kontroversi dalam perlawanan melibatkan Argentina.

Bagaimanapun, petisyen itu ditutup sejurus selepas Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 pada aksi final Piala Dunia 2026 menerusi jaringan Ferran Torres pada masa tambahan.

Laman berkenaan kemudian memaparkan mesej:

“Petisyen ditutup. Lebih 23 juta orang dari 170 negara menandatangani petisyen ini dalam tempoh kurang seminggu. FIFA mengabaikan kami tetapi Sepanyol melakukannya. Terima kasih Sepanyol.”

Namun, kesahihan petisyen itu menjadi tanda tanya apabila beberapa pemerhati mendakwa jumlah tandatangan yang dipaparkan tidak disahkan dan kaunter di laman tersebut dipercayai boleh meningkat secara automatik.

Laman itu sendiri turut menyatakan jumlah yang dipaparkan bukan jumlah tandatangan yang disahkan.

Walaupun begitu, angka yang didakwa diperoleh hampir menyamai rekod dunia Guinness bagi petisyen dengan jumlah tandatangan tertinggi, iaitu 24.3 juta menerusi kempen Jubilee 2000.

Sementara itu, FIFA berulang kali menafikan dakwaan wujud layanan istimewa terhadap Argentina dan menegaskan semua perlawanan dikendalikan mengikut prosedur pengadilan yang ditetapkan.

Badan itu juga memaklumkan setiap keputusan pengadil tertakluk kepada proses semakan, namun tiada bukti ditemui yang menunjukkan wujud unsur berat sebelah secara sistematik terhadap Argentina.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button