BERITA SEMASA

Fitnah isu TH: Asyraf Wajdi ambil tindakan undang-undang, tuntut RM5 juta

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH), dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta.

Beliau berkata, notis tuntutan dan prosiding saman terhadap pemilik akaun dikenali sebagai Abied Abdullah sedang disediakan oleh barisan peguamnya susulan penyebaran hantaran yang didakwa mencemarkan reputasi dan maruah beliau.

Menurut Setiausaha Agung UMNO itu, tuduhan berkenaan sengaja direka bagi mewujudkan persepsi buruk sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu yang melibatkan TH.

“Ini semua fitnah untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya, sedangkan saya tidak terlibat langsung dalam apa jua isu yang dikaitkan dengan Tabung Haji ini.

“Barisan peguam saya akan siapkan Notis Tuntutan dan prosiding saman sebanyak RM5 juta kerana hantaran fitnah ini telah tersebar secara meluas dan merosakkan reputasi saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dr Asyraf berkata, sejak awal lagi pihaknya menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam rasuah atau salah guna kuasa membabitkan TH.

Katanya, isu itu mula dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, namun sehingga kini tiada individu didakwa di mahkamah.

Asyraf turut berjanji akan menyalurkan keseluruhan wang pampasan yang diterimanya sekiranya berjaya memenangi saman itu kepada Yayasan Pelajaran MARA.

“Sebagaimana kemenangan dalam kes-kes saman saya sebelum ini, insya-Allah setiap sen yang saya peroleh akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button