TH jamin kelancaran wukuf jemaah Malaysia di Arafah
MAKAH — Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan semua jemaah haji Malaysia akan tiba di Arafah mengikut jadual, meskipun sekatan pergerakan diperketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi pada musim haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Tabung Haji telah melaksanakan persiapan menyeluruh dari segi logistik dan pengangkutan bagi memastikan semua jemaah tiba di Arafah tepat pada masanya.
“Pengangkutan telah diatur dengan baik. Kita tidak melihat sebarang isu besar yang akan menghalang jemaah daripada berada di Arafah tepat pada waktunya. Setiap jemaah akan dibawa dengan selamat dan teratur.
“Kerajaan Arab Saudi memberi jaminan sokongan logistik yang menyeluruh, termasuk penyediaan bas dan kemudahan rel, meskipun jumlah pengangkutan tidak dinyatakan secara terperinci.
“Kerajaan Arab Saudi menunjukkan komitmen tinggi memastikan jemaah tidak perlu berjalan kaki ke Arafah. Keutamaan mereka jelas menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Na’im memaklumkan dasar baru “Tiada Visa, Tiada Haji” yang diperkenalkan oleh Arab Saudi berjaya mengekang kemasukan jemaah tidak berdaftar ke Tanah Suci.
“Dengan pelaksanaan dasar ini, hanya individu yang memiliki dokumen dan permit sah dibenarkan menunaikan haji. Ini menjadikan pengurusan jemaah lebih tersusun serta membolehkan perkhidmatan seperti pengangkutan diagih secara lebih efisien,” katanya.
Menurutnya, TH bersiap siaga sepenuhnya dan petugas akan berada di Arafah lebih awal bagi memastikan kelancaran pergerakan.
“Kita telah bersedia dari semua aspek. Petugas akan berada di lokasi lebih awal untuk menerima ketibaan jemaah dan mengatur pergerakan ke khemah masing-masing. Insya-Allah, perjalanan ibadah tahun ini berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Program Kebersihan Masyair 1446H/2025M turut dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan TH untuk meningkatkan tahap keselesaan dan kebersihan sepanjang tempoh kemuncak ibadah haji.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








