Yang bersalah mesti bertanggungjawab – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak akan berkompromi sekiranya Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) mendapati wujud salah laku, pecah amanah jenayah atau kelemahan tadbir urus yang dilakukan mana-mana individu atau kumpulan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak yang didapati bertanggungjawab perlu berdepan tindakan sewajarnya.
“Saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur negatif seperti itu benar-benar berlaku.
“Bagaimanapun, jika dapatan menunjukkan sebaliknya, maka laporan RCI itu hanya akan mengandungi syor-syor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, laporan RCI berkenaan akan dibahaskan di Dewan Rakyat minggu depan.
“Mengenai tindakan susulan, ia akan dibahaskan dan diperincikan apabila laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menerusi podcast Keluar Sekejap yang menyatakan UMNO perlu mengakui kelemahan dalam pengurusan Tabung Haji sepanjang pentadbiran BN antara 2014 hingga 2017, seperti yang dibangkitkan dalam laporan RCI yang didedahkan minggu lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








