BERITA SEMASA

SPM: 80 pelajar MRSM catat keputusan semua A, 4 pelajar Orang Asli peroleh 9A

KUALA LUMPUR – Seramai 80 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) memperoleh keputusan A dalam semua matapelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, seramai 7,636 calon daripada 57 MRSM mencatat prestasi cemerlang dalam peperiksaan tersebut sekali gus mengukuhkan reputasi institusi itu sebagai peneraju kecemerlangan akademik negara.

“Lebih membanggakan, keputusan SPM 2025 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.067 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut.

“Sebanyak lima buah MRSM berada dalam kelompok teratas terbaik secara keseluruhan, mengatasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah-sekolah harian lain di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan seramai empat pelajar Orang Asli memperoleh keputusan 9A manakala 114 orang pelajar memperoleh keputusan lebih 5A.

“Pencapaian 5A ke atas itu meningkat daripada 87 orang tahun lalu kepada 114 orang tahun ini,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Menurut Ahmad Zahid, peningkatan itu mencerminkan keberkesanan usaha berterusan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelbagai agensi dalam memperkasa pendidikan komuniti Orang Asli.

Tambahnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan saksama, termasuk penyediaan kemudahan pembelajaran serta sokongan berterusan kepada pelajar di kawasan pedalaman.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memaklumkan bahawa TVET kini muncul sebagai aliran arus perdana berbeza dengan persepsi lama yang menganggap laluan tersebut sebagai pilihan kedua.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 53.9 peratus pelajar lepasan SPM memilih laluan TVET pada tahun lalu sekaligus mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap pendidikan berasaskan kemahiran.

“Melalui institusi seperti TVETMARA, GIATMARA dan lain-lain, para pelajar kini mempunyai ruang yang lebih luas untuk meneroka potensi diri melalui ekosistem UP_TVET yang lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon SPM 2025 atas usaha dan pencapaian yang diraih.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button