BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

MIHAS@Shanghai raih jualan RM3.2 bilion, buka peluang luas produk halal Malaysia di China

KUALA LUMPUR – Produk halal Malaysia terus mencatat kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa apabila Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, MIHAS@Shanghai mencatat nilai jualan kira-kira RM3.2 bilion.

Sepanjang lima hari penganjurannya sempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), ia berjaya melebihi sasaran awal sebanyak RM2.5 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu membuktikan permintaan tinggi terhadap produk halal Malaysia di pasaran China dan membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran tersebut.

“Keutamaan diberikan kepada produk halal dan mereka berhajat untuk mengimport produk-produk ini.

“Hasilnya, nilai transaksi meningkat kepada RM3.2 bilion dalam tempoh lima hari. Ini adalah pencapaian terbaik,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global (GCET 2025) di Wisma MCA, di sini hari ini, memetik laporan Buletin TV3.

Zahid menambah, beliau telah meminta MATRADE supaya menyertai CIIE setiap tahun bagi membolehkan lebih ramai pemain industri pelbagai kaum mempamerkan produk halal mereka di China.

Selain itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) turut mengambil bahagian dan mencatat jualan memberangsangkan.

Menurut Zahid, produk berasaskan hiliran durian khususnya mempunyai potensi pasaran yang besar dan perlu diterokai secara lebih agresif.

MIHAS@Shanghai yang berlangsung pada 5 hingga 10 November lalu di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC) Shanghai, China menghimpunkan 250 pempamer Malaysia, menekankan keunggulan produk halal tempatan di mata dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button