Zahid mahu undang-undang lindungi agama, institusi raja diperkukuh
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keperluan menilai semula undang-undang berkaitan penghinaan agama dan institusi Raja-Raja Melayu supaya lebih relevan dengan cabaran semasa.
Beliau berkata, kebebasan bersuara perlu dihormati dalam negara demokrasi, namun tidak boleh menjadi lesen menghina agama, memperlekeh institusi diraja atau merosakkan asas keharmonian negara.
Menurutnya, keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu semakin memuncak apabila pelbagai isu melibatkan penghinaan terhadap Islam dan Raja-Raja Melayu terus berlaku secara terbuka.
“Daripada isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), penghinaan terhadap kalimah Allah, jenaka ‘ham and cheese’ yang meremehkan halal, isu Allahyarham Muhammad Adib dan bantahan terhadap laungan azan.
“Hinggalah kepada perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam semuanya mengguris hati dan menimbulkan persoalan besar tentang nilai hormat terhadap asas negara,” katanya ketika berucap pada program ‘Musyawarah Nasional – Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’ di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Tambah Zahid, apa yang membimbangkan apabila muncul tindakan yang disifatkan melampau termasuk penghinaan terhadap Sultan Selangor melalui penyebaran imej yang tidak menghormati institusi diraja.
Katanya, tindakan sedemikian bukan sekadar gurauan, tetapi satu penghinaan terbuka terhadap payung kedaulatan negara.
“Perbuatan sebegini jelas melampaui batas adab, budaya dan prinsip hormat yang menjadi asas keharmonian masyarakat.
“Islam ialah agama Persekutuan. Raja-Raja Melayu payung kedaulatan. Maka apabila dua tiang seri ini diganggu, keresahan rakyat tidak boleh dianggap kecil.
“Ia mesti ditangani dengan tegas, adil dan berhikmah agar maruah agama, institusi negara dan keharmonian nasional dapat terus terpelihara,” katanya memetik laporan BH Online.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, cabaran bangsa Melayu hari ini bukan hanya membabitkan isu identiti dan agama, tetapi juga masa depan pendidikan serta peluang ekonomi generasi muda.
Menurutnya, hampir 35.8 peratus atau 1.96 juta graduan institusi pengajian tinggi kini bekerja dalam sektor separa mahir atau pekerjaan berkemahiran rendah yang tidak setara dengan kelayakan dimiliki.
“Pendidikan tidak boleh sekadar melahirkan graduan, tetapi mesti membina keupayaan, kemahiran dan keyakinan anak muda untuk bersaing dalam ekonomi baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dijadikan laluan utama mobiliti sosial orang Melayu dan bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













