BERITA SEMASA

Penganjuran program hiburan perlu patuh nilai, adab dan sensitiviti tempatan – Presiden UMNO

CYBERJAYA – Setiap program hiburan yang dianjurkan di negara ini perlu berpaksikan prinsip yang jelas tanpa mengetepikan nilai, adab serta sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan.

Presdien UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihaknya memandang serius pandangan yang dikemukakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu berkenaan.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pandangan tersebut wajar dihormati kerana mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap penganjuran program tertentu.

“Sehubungan itu, UMNO meminta supaya program seumpama ini diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya.

“Garis panduan (penganjuran) juga perlu diperkemas serta diperketatkan agar setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Tambah beliau, prinsip yang dipegang adalah jelas iaitu hiburan bukan sesuatu yang salah, namun ia perlu mempunyai batas tertentu.

“Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat. Penganjur juga wajar berbincang dengan pihak berkuasa agar keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya lagi.

Tegas Ahmad Zahid, pendirian tersebut mencerminkan komitmen UMNO dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan nilai dalam masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button