BN kekal formula agihan kerusi hadapi PRN, PRU – Zahid
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan formula pembahagian kerusi sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan meneliti keperluan untuk membuat pelarasan termasuk kemungkinan penambahan kerusi kepada rakan gabungan serta ‘Friends of BN’.
“Kita mahu membuktikan bahawa kebersamaan kita selama ini dapat diterjemahkan dalam bentuk pembahagian kerusi yang bersesuaian buat mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) ke-46 tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Turut hadir Zambry; Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader serta pemimpin kanan parti komponen dan Friends of BN, selain 938 perwakilan daripada 95 bahagian seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera BN perlu mula bergerak aktif menarik sokongan pengundi luar kerana sokongan daripada ahli parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan calon.
“Kita sedar bahawa sokongan daripada ahli parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk memenangi pilihan raya.
“Oleh itu, jentera perlu mula menarik sokongan daripada pengundi yang bukan terdiri daripada ahli mana-mana parti komponen,” katanya memetik laporan Bernama.
Mengulas kedudukan MIC, beliau menegaskan parti itu kekal sebagai parti teras BN dan tidak pernah menyatakan hasrat untuk keluar secara rasmi.
“Walaupun terdapat surat yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN), namun MIC menafikan mereka pernah memohon untuk menyertai gabungan berkenaan,” katanya.
Mengulas cadangan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan agar PRN Johor dan Melaka ditangguhkan sehingga ekonomi stabil, Zahid berkata perkara itu hanyalah pandangan peribadi.
“Itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukannya pendirian rasmi UMNO mahupun BN,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka hanya akan berakhir pada 30 November 2026 sebelum memberi laluan kepada PRN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








