BERITA SEMASA

Kerjasama Malaysia-China dalam TVET diperkukuh menerusi penubuhan MCI

PUTRAJAYA – Kerjasama antara Malaysia dengan China dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkukuh menerusi penubuhan Malaysia-China Institute (MCI).

Timbalan Perdana Menteri, Daruk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Republik China, Ouyang Yujing, hari ini bagi membincangkan cadangan penubuhan institut tersebut.

“Pada peringkat awal, MCI akan beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk, sebelum pembangunan kampus tetap baharu yang akan dibina di atas tanah seluas 60 ekar nanti.

“Institut ini disasarkan untuk menampung sehingga 2,000 orang pelajar dengan tumpuan kepada TVET berimpak tinggi dan bernilai tambah tinggi (HighGrowth, High-Value),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid turut memberitahu, antara perkara dibincangkan hari ini  termasuk pembangunan modal insan, latihan pengajar (training of trainers), sokongan peralatan serta kemahiran teknikal, termasuk keperluan penghantaran tenaga pengajar bahasa Mandarin ke MCI.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa penubuhan MCI berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi kedua-dua buah negara,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya berkata, Malaysia dan China turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di samping melaksanakan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar dalam sektor-sektor berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dan keperluan industri masa hadapan.

Tambahnya, sebanyak 18 bidang TVET telah dikenal pasti untuk pelaksanaan awal, antaranya melibatkan bidang automotif, kenderaan elektrik (EV), automasi industri, tenaga solar, robotik, Internet of Things (IoT) serta agroteknologi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button