POLITIK

Ahmad Zahid akan bertemu Presiden MIC bincang hasrat sertai PN

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran bagi membincangkan hasrat parti itu untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, penjelasan berhubung perkara tersebut akan diperoleh secara langsung dalam masa terdekat, lapor Sinar Online

“Saya akan tanya dengan beliau (Vigneswaran) sendiri,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ensiklopedia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Penyerahan Watikah Pelantikan Penterjemah dan Pentasbih Mawsu’ah Ahadith Al-Qiyam, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti politik termasuk MIC dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat bersama PN.

Isnin lepas, media turut melaporkan, Vigneswaran tidak menolak kemungkinan parti itu menyertai gabungan tersebut, namun menegaskan perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diputuskan.

Beliau menyifatkan pelawaan Tuan Ibrahim ibarat proses ‘merisik’ dan MIC akan meneliti dengan lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button