POLITIK

PRN Johor: BN terus pertahan 40 kerusi dimenangi

Keputusan PRU15 bukan rujukan sesuai bagi tuntutan kerusi

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) akan terus mempertahankan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada PRN Johor 2022.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh dijadikan rujukan atau asas tuntutan kerusi pada PRN berkenaan, lapor SH Online.

“Amat sukar bagi mana-mana pihak lain untuk mengambil alih 40 kerusi tersebut.

“Perkara yang patut dihormati ialah kemenangan sedia ada. Pada PRU15, BN hanya memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen.

“Itu masalah PRU. Yang penting kita di Johor hendak PRN, bukan hendak PRU,” katanya, di sini hari ini.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP memenangi 10 kerusi, sementara PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, iaitu dua kerusi oleh Bersatu dan satu oleh Pas, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut memenangi satu kerusi.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, sebarang perbincangan atau strategi politik perlu mengambil kira prinsip menghormati kemenangan sedia ada.

“Berdasarkan amalan dan prinsip Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri-negeri sejak tiga tahun kebelakangan ini, parti yang memenangi sesuatu kerusi lazimnya akan bertanding semula di kerusi tersebut.

“Kita boleh lihat dalam beberapa PRK seperti Pelangai, Mahkota, Nenggiri, Lamag dan Kinabatangan, kerusi yang dimenangi sebelum ini kekal ditandingi oleh parti yang sama,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan 40 kerusi DUN Johor yang dimenangi UMNO dan BN sewajarnya terus dipertahankan demi memastikan kestabilan politik negeri.

Laporan media semalam menyebut, Pakatan Harapan (PH) memberi tempoh dua bulan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya gabungan itu untuk menyiapkan kajian menyeluruh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, termasuk menilai kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) seperti model pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button