Puad Zarkashi pertahan tindakan cadang nama anak bertanding di DUN Rengit
KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr Puad Zarkashi mempertahankan tindakan mencalonkan anaknya untuk bertanding menggantikannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Speaker DUN Johor itu berkata, tindakannya itu bukan satu kesalahan dan tidak sepatutnya dijadikan isu.
“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu jadi isu? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.
“Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur.
“Bab calon ini biarlah saya ulas di posting lain sehari dua ini,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu Puad mencetuskan kontroversi apabila mendakwa nama calon Barisan Nasional (BN) bagi PRN Johor mendapat arahan pihak tertentu.
Kenyataan beliau itu dibidas oleh Pengerusi Perhubungan BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Onn Hafiz menegaskan kenyataan yang dikeluarkan itu tidak benar dan akan membuat laporan polis manakala, Asyraf pula mendakwa Puad berbuat demikian kerana kecewa selepas cadangan untuk meletakkan anaknya di kerusi DUN tersebut tidak dilayan.
Dalam pada itu, Puad juga mendakwa ramai anak dan isteri pemimpin UMNO di ibu pejabat mendapat jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dan beliau bersedia untuk mendedahkannya.
Sementara itu Puad turut membidas
Asyraf Wajdi dan mempertahankan kenyataan yang dikeluarkannya bahawa UMNO Johor tidak bebas dan terikat dengan pihak tertentu.
“Cuba Asyraf dedahkan sebelum ahli UMNO sendiri dedahkan. Kenapa Alwiyah Talib bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau daripada parti BERSATU umum keluar BERSATU kemudian masuk balık UMNO, tiba-tiba tak sampai sebulan, dipilih sebagai calon BN DUN Endau.
“Itu angkara siapa? Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri Mersing. Apakah Ketua Pemuda Mersing juga tidak layak. Kenapa BN tolak calon anak muda. Hebatkah si Alwiyah itu?
“Itu juga yang berlaku kepada Azizul Bachok bekas ADUN Tiram. Dia orang muda. Dia baru sepenggal jadi YB. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme. Maka sistem pilih calon itu yang saya protes.
“Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan
kamikaze untuk sedarkan pemimpin,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








