Angkatan Muda Harapan gesa menteri, timbalan menteri BN letak jawatan susulan kerjasama dengan PN
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan perkembangan politik yang menyaksikan parti itu secara terbuka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, AMH mendakwa tindakan BN itu menunjukkan parti berkenaan tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya lebih mengutamakan percaturan politik jangka pendek.
“AMH berpendirian bahawa tindakan BN yang sanggup bekerjasama dengan PN secara terbuka merupakan bukti jelas bahawa BN tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada mereka dalam Kerajaan Perpaduan, malahan mereka lebih cenderung kepada percaturan politik sempit demi kepentingan jangka pendek,” katanya hari ini.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan merangkap Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin serta Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir.
Dalam pada itu, AMH turut menempelak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan secara terbuka bahawa sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri merupakan medan uji formula dan berpotensi diterjemahkankepada skala nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut AMH, kenyataan itu menunjukkan kerjasama BN-PN bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya mencerminkan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, AMH turut mengingatkan, Pakatan Harapan (PH) telah memberikan ruang kepada BN untuk menyertai pentadbiran negeri Pulau Pinang dan Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 sebagai menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, AMH berpandangan peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri daripada BN akan membolehkan parti itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjasama politik dengan PN tanpa menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
AMH menegaskan langkah itu dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, mengurangkan risiko ketidakstabilan politik serta membolehkan kerajaan menumpukan usaha kepada pemulihan ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















