POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Isu banjir, kebersihan antara tumpuan kempen PH di Ampangan

SEREMBAN – Isu banjir, kebersihan dan pengurusan sistem perparitan menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan pengundi sepanjang kempen Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

Calon PH bagi DUN Ampangan, Nazri Kassim berkata, jadual kempennya sejak beberapa hari lalu agak padat dengan pelbagai program mendekati pengundi, bermula seawal sebelum Subuh sehingga lewat malam.

Menurut beliau, pendekatan turun padang secara berterusan membolehkannya mendengar sendiri masalah yang dihadapi penduduk setempat.

“Ampangan merupakan kawasan lembah yang mempunyai tiga aliran sungai utama dan berdasarkan pengalaman lalu, kawasan ini sering berdepan risiko banjir yang menyebabkan kerosakan harta benda penduduk.

“Bagaimanapun, kerja-kerja penambahbaikan sistem perparitan dan sungai sedang berjalan dengan baik dan kita berhasrat meningkatkan lagi usaha penyelenggaraan sungai dari semasa ke semasa,” katanya kepada Malaysia Tribune semalam.

Beliau menjelaskan, sungai yang tidak diselenggara dengan baik boleh tersumbat akibat timbunan sampah, kayu dan pasir sehingga menjejaskan kelancaran aliran air.

“Keadaan ini boleh menyebabkan sungai tidak dapat mengalir dengan sempurna dan akhirnya meningkatkan risiko banjir. Sebab itu penyelenggaraan berkala amat penting,” katanya lagi.

Selain itu, Nazri berkata, antara aduan lain yang diterima daripada penduduk ialah berkaitan kebersihan kawasan, pengurusan sampah serta masalah longkang yang menyebabkan air bertakung.

Menurutnya, isu-isu tersebut bukanlah masalah besar, namun memerlukan tindakan berterusan dan bersungguh-sungguh bagi memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, beliau turut merayu sokongan pengundi Ampangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Saya, Nazri Kassim, calon nombor satu DUN Ampangan, dengan rendah hati memohon sokongan dan dokongan daripada seluruh pengundi Ampangan.

“Kami komited untuk terus berkhidmat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Pakatan Harapan kekal harapan dan kami akan terus bekerja demi kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi..

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button