JENAYAH & MAHKAMAH

Dua bekas pegawai kanan TH tidak mengaku salah tipu lembaga pengarah

KUALA LUMPUR – Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menipu ahli lembaga pengarah berhubung pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion bagi tahun kewangan 2017.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Johan Abdullah, 70, dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Datuk Rozaida Omar, 63, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan dibacakan secara bersama keatas mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyediakan dan membentangkan kertas kerja mengandungi penilaian hartanah yang dilambungkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, walaupun mengetahui bahawa hartanah tersebut sepatutnya dinilai pada harga pasaran yang lebih rendah.

Perbuatan yang didakwa itu membolehkan TH membuat pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion kepada para pendepositnya bagi tahun kewangan 2017.

Tiga hartanah yang terlibat ialah Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 3 petang hingga 10.30 malam pada 9 Feb 2018 di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Norma menetapkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh.

Peguam Shamsul Sulaiman mewakili Rozaida, manakala Datuk Shukri Mohamed dan Malissa Shukri mewakili Johan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button